Cuba bayangkan kalau semua orang di Malaysia malam semalam Allah bagi 
 RM 10,000,000.00 setiap seorang terus ke dalam akaun bank.
 Bangun pagi ni, kita cek akaun melalui CimbClicks, punyalah terkejut sebab ada 
 rm10 juta dalam akaun. Kita pun merancang untuk masukkan duit dalam 
pelaburan, bagi emak dan ayah, bayar hutang, beli kereta baru, beli 
rumah baru, shopping sakan dan pergi Melancong dan Umrah.
 Kita pun call emak di kampung, emak cakap tak perlu bagi emak duit lagi sebab emak dah jutawan.
 Kita keluar rumah untuk pergi selesaikan urusan kita tadi. Keluar 
rumah, baru nak hidupkan kereta myvi, kereta pula rosak. Terus terbayang
 nak tukar dengan BMW 328i Sport. Sebelum tu, kena ada kereta lain dulu 
untuk ke Auto Bavaria. Kita pun call 012-5235574 untuk sewa kereta. 
"Maaf, kami tidak beroperasi selama setahun kerana semua staff cuti. 
Mereka sudah jadi jutawan."
 Kita pun terus membuka applikasi Grab dan Uber. Ternyata tiada yang available kerana semua sudah jadi jutawan.   
 Kita mula melangkahkan kaki keluar untuk mendapatkan teksi. Ternyata 
Teksi juga tiada kerana semua pemandu teksi sudah jadi jutawan. 
 
Kita teruskan melangkah ke bank untuk mengeluarkan duit. Bank juga tutup
 kerana semua pegawai bank sudah jadi jutawan. Duit di dalam mesin Atm 
juga sudah habis kerana kita agak lewat dan tiada penghantaran duit 
kerana mereka yang bekerja dengan Securiforce juga sudah jadi jutawan.
 Kita mula buntu dan cuba melangkah longlai ke kedai mamak berhampiran 
untuk pekena teh ais kaw bagi menghilangkan rasa tertekan. Ternyata 
kedai mamak juga tutup kerana semua pekerjanya sudah jadi jutawan. 
 Kita semakin buntu. Kelihatan banyak projek pembinaan bangunan tidak 
berjalan kerana semua pekerja Indonesiav dan Bangla juga sudah jadi 
jutawan. 
 Kite melangkah masuk ke kedai 24 jam, 7 eleven. Buat 
kali pertama kedai 7 eleven juga tutup kerana semua pekerjanya sudah 
jadi jutawan. 
 Banyak stesen minyak yang tutup kerana terputus bekalan minyak kerana pemandu lori minyak juga sudah jadi jutawan. 
 Keadaan jalan menjadi semakin sesak. Tetapi tiada Polis Trafik yang 
bertugas menjaga lalu lintas kerana semua Polis Trafik juga sudah jadi 
jutawan. 
 Jadi, bagaimana dengan kita?
 Kesimpulannya, Allah dah jadikan setiap perkara itu adil dan sempurna.
 Kepada mereka yang Allah berikan nikmat rezeki dan pangkat yang lebih, 
jangan sesekali sombong.
Berlagak dan memandang hina pada orang yang 
serba kekurangan atau biasa-biasa sahaja ini. 
 Kerana tanpa disedari, mereka ini lah yang banyak memudahkan urusan harian anda dengan izin Allah. 
 
 
 
 “Saya setuju benar! Wanita yang tidak menutup aurat sama ada dia gila, 
belum baligh atau kafir,” tekan suaranya dengan nada tinggi.
 
“Bagaimana dengan wanita itu?”ujar saya sambil menunjuk seorang remaja 
perempuan yang sedang berjalan tidak berapa jauh di hadapan tempat kami 
berbual. Remaja wanita itu berbaju T dan berseluar jean.
 “Mengapa?” 
 “Dia tidak menutup aurat, bukan? Tolong nyatakan siapa dia? Dia belum baligh, gila atau kafir?” tanya saya. 
 “Salah satu daripada tiga golongan itu.” 
 “Yang mana satu?” asak saya minta kepastian.
 “Kafir?” jolok saya.
 Dia menjawab dengan menggelengkan kepala. 
 “Gila?” tanya saya lagi. 
 Dia masih diam. Saya yakin naluri hatinya tidak sanggup menghukum begitu.  
 Ya, sejak tadi kami berbual tentang sebuah poster yang terentang di 
tepi jalan di taman perumahan kami. Poster yang sederhana besar itu 
terpampang ‘gah’ dengan kata-kata: “Wanita yang tidak menutup aurat itu 
sama ada belum baligh, gila atau kafir.”
 Dia sangat bersetuju 
dengan maksud poster itu. Sebaliknya saya tidak. Pada saya ayat itu 
terlalu kasar untuk menyeru wanita menutup aurat. 
 “Kita perlu tegas.” 
 “Saya setuju. Tetapi itu bukan tegas. Keras. Terlalu keras,” balas saya. 
 “Kita tidak boleh berlembut lagi. Hukum menutup aurat jelas termaktub dalam al-Quran. Menolaknya jadi kafir.”
 “Saya tidak bercakap dalam konteks hukum tetapi bagaimana hendak 
mendidik manusia agar mematuhi hukum. Saya bercakap tentang dakwah. 
Dakwah perlukan sikap yang lemah lembut dan hikmah.”
 “Saya kira 
sikap macam saudara inilah yang menyebabkan hukum Islam dipijak-pijak 
dan diinjak-injak. Mengalah, mengalah. Itu bukan lemah lembut tetapi 
lemah lembik!’ cebiknya seakan mengejek. 
 Saya diam. Mencari-cari
 kata untuk bersuara. Namun, jauh di sudut hati saya telah membuat janji
 pada diri. Api tidak akan dilawan dengan api. Maksudnya, saya tidak 
akan melenting, marah dan meninggikan suara dalam menghadapinya. 
 “Lemah lembut bukan seperti agar-agar sebaliknya seperti air,” kilas saya perlahan. 
 “Awak belajar dari air? Hebat.” katanya dengan nada sinis. 
 Tanpa melayan provokasinya saya terus berkata, “air memang lembut tetapi batu yang keras boleh lekuk dan dapat ditembusinya.”
 “Okey, kalau begitu. Cuba berikan ayat yang awak rasa sesuai.” 
 “Tutup aurat supaya selamat,” balas saya cepat. 
 Dia ketawa berdekah-dekah.
 Saya terdiam. Terasa juga kata-kata itu terlalu simple dan direct. 
 “Kalau awak pula?” kata saya untuk menghentikan ketawanya. 
 “Dedah aurat akan dilaknat!” 
 Saya senyum sambil merenung wajahnya. 
 “Apa? Kasar? Kutuk? Menghina?” terjahnya bertubi-tubi. 
 Saya masih tidak bersuara. Terasa diri seperti punching bag yang ditinju berkali-kali. 
 “Pada saya wanita yang mendedahkan aurat layak dan patut dikutuk. Mereka derhaka terhadap perintah Allah Pencipta mereka.”
 “Awak membenci...” keluh saya perlahan. 
 “Ya saya membenci orang yang melakukan kemungkaran. Kebencian semacam itu adalah daripada iman.”
 “Awak benci pendedahan aurat atau orang yang mendedahkannya?” tanya saya, mula ‘menyerang’ setelah sekian lama bertahan. 
 “Maksud awak? Saya tak faham.”
 “Awak benci kemungkaran atau pelakunya?” kata saya menjelaskan persoalan. 
 “Kedua-duanya. Setiap bernama mungkar saya membencinya.” 
 “Maaf, saya rasa itu kurang tepat. Kita perlu benci kemungkaran. Itu saya setuju. Tetapi kita tidak boleh membenci pelakunya.”
 Tiba-tiba saya teringat kata-kata yang pernah saya masukan dalam 
Facebook, “Dengan kebencian kita mencegah kemungkaran tetapi dengan 
kasih sayang kita mendidik manusia yang melakukannya. Dakwah itu menanam
 rasa bersalah dalam diri pendosa, bukan rasa dipersalahkan oleh 
pendakwah kerana dosanya.”
 “Mengapa tidak boleh?” 
 Kata-kata itu mengejutkan saya semula. 
 “Supaya dia tidak terus melakukan kemungkaran.” 
 “Bagaimana?” tanyanya kehairanan. 
 “Tanpa kebencian, dengan kasih sayang, kita boleh mendekati, menyeru 
dan berdakwah kepada pelaku kemungkaran. Kita cuba fahami dan selami 
hati dan fikiran orang yang melakukan kemungkaran.” 
 “Selami dan fahami hati dan fikirannya. Maaflah tidak ada masa.” 
 “Pendakwah sentiasa melapangkan masa untuk orang yang hendak diserunya.
 Nabi Nuh telah meluangkan masa 950 tahun untuk menyeru umat baginda.”
 “Mustahil mereka tidak faham-faham lagi yang dedah aurat itu haram!” 
 “Pendakwah mesti bertindak untuk memahami dahulu orang yang hendak diserunya kemudian barulah seruannya difahami.”
 “Apa lagi yang perlu kita faham tentang wanita-wanita ‘pendedah’ aurat ini?”       
 “Sebelum saya jawab, saya mohon awak tukar ayat ‘pendedah’ aurat kepada mendedahkan aurat,” tegas saya. 
 “Mengapa?” 
 “Ayat ‘pendedah’ aurat itu sudah melabel. Pendakwah tidak boleh 
melabel. Kita perlu fokus kerana perbuatannya bukan peribadinya.” 
 “Baiklah. Ikut suka awaklah!” 
 “Kita perlu memahami dan menyelami sebab mereka mendedahkan aurat. 
Apakah kerana mereka jahil, tidak mampu melawan hawa nafsu, ada 
kepentingan atau ada fahaman salah yang menjadi pegangan mereka sebagai 
prinsip hidup?”
 “Wah, begitu terperinci. Sukar benar untuk menjadi pendakwah.”
 Saya tidak pasti kata-katanya itu satu pengakuan atau masih satu 
sindiran. Biarlah. Saya tidak mahu, dan tidak perlu ‘menghukum’.
 “Untuk mengubah benda yang bersifat fizikal pun perlukan ilmu, apatah lagi untuk mengubah hati dan fikiran,” kata saya. 
 Teringat ungkapan yang saya tidak pasti sumbernya tetapi pengajarannya 
cukup tinggi. Kata-kata yang terpahat dalam ingatan sejak mula 
berjinak-jinak dengan aktiviti dakwah sejak di sekolah menengah dulu: 
“Jika ada orang memberitahu gunung Uhud itu telah berubah, kamu boleh 
mempercayainya. Tetapi jangan percaya kalau dikatakan hati seseorang itu
 telah berubah sebelum kamu melihatnya sendiri.”
 “Anak perempuan 
dan isteri awak menutup aurat?” tanya saya apabila melihat dia mula 
‘slow’. Saya tahu itu satu soalan yang mengejutkan.
 “Eh, awak ni.
 Apa awak ingat saya ni jenis cakap tak serupa bikin? Anak perempuan 
saya sejak kecil sudah menutup aurat. Begitu juga isteri saya. Ayah 
mentua saya seorang ustaz.”
 “Bagaimana anak perempuan awak menutup aurat?”
 “Saya didik dia. Saya beri ilmu. Saya latih, saya bimbing.” 
 “Dengan kasih sayang atau kasar?” 
 “Siapa tak sayang anak?” akuinya terus terang. 
 “Tahniah. Saya pasti awak tidak akan gunakan perkataan gila, kafir dan 
sebagainya kepada anak awak dalam usaha mendidiknya supaya menutup aurat
 bukan?” 
 Dia diam. Kali ini diam yang panjang. Saya kira, dia 
sudah sedar pengakuannya secara tidak sedar mengakui apa yang saya 
katakan sejak tadi.  
 “Seorang pendakwah mesti menyayangi orang 
yang diserunya seperti seorang ayah menyayangi anaknya justeru bahasanya
 lembut, tegas tetapi tidak keras, memujuk bukan mengutuk. Menanam rasa 
bersalah bukan rasa dipersalahkan dalam hati orang yang diserunya.”
 “Saya setuju. Tetapi jika mereka di tahap kedegilan melampau takkanlah 
kita hendak guna bahasa yang lemah lembut juga. Pada saya hikmah itu 
bukannya sentiasa berlemah lembut. Ada kalanya perlu keras dan tegas.” 
 “Hikmah kita merujuk kepada al-Quran dan sunnah. Ingin saya sampaikan 
satu kisah yang ada kaitan dengan apa yang kita bincangkan sekarang?” 
 Dia mengangguk. Akur. 
 Lalu saya menceritakan kisah Nabi Musa dan Nabi Harun menasihati Firaun
 seperti diungkapkan dalam al-Quran, “Pergilah kamu berdua kepada 
Firaun, sesungguhnya dia telah melewati batas. Maka berbicaralah kamu 
berdua kepadanya dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia ingat 
atau takut.” (Taha 20: 43-44)
 Saya lanjutkan pula dengan kisah 
Khalifah al-Makmun Ibn Harun al-Rasyid yang didatangi oleh seorang 
pendakwah yang mengkritiknya dengan bahasa yang keras dan pedas lalu 
Khalifah al-Makmun menjawab, ‘Nasihatilah aku dengan sopan kerana Firaun
 itu lebih jahat daripada aku dan Nabi Musa itu lebih baik daripada 
kamu. Namun Nabi Musa menggunakan bahasa yang baik untuk menasihati 
Firaun.
 “Apa yang kita pelajari daripada kisah-kisah itu?”
 
“Pada hati seorang pendakwah yang ingin menegakkan kebaikan dan mencegah
 kemungkaran perlu sentiasa ada bisikan: Dia bukan Firaun dan kau bukan 
Nabi Musa!”      
 “Insya-Allah.” 
 “Kita jangan menghina pendosa seolah-olah kita tidak pernah berdosa.” 
 “... tetapi kita menyeru, menegur dan mengingatkan pendosa kerana kita 
sendiri pernah merasai kepahitan, keperitan dan keresahan hati akibat 
dosa. Kita mesti menyayangi mereka seperti kita sayang akan anak-anak 
kita bahkan diri sendiri,” kata saya. 
 Kali ini, saya pula yang meluahkan kata secara bertubi-tubi. 
 “Ya... ya. Saya rasa ayat awak, tutup aurat supaya selamat lebih baik 
daripada ayat saya, dedah aurat akan dilaknat,” akuinya tiba-tiba. 
 
Kali ini saya pula ketawa. Saya memegang bahunya erat-erat. Itulah 
bahasa tubuh untuk menghantar isyarat bahawa saya ingin rapat, 
menyayangi dan memahaminya. Tidak ada siapa yang menang kecuali 
kebenaran. 
 “Saya akan mengubah tanggapan terhadap wanita yang 
mendedahkan aurat. Mereka perlu dikasihani dan disayangi, bukan dikutuk 
dan dibenci.”
 “Ya, marilah kita perangi kejahilan dan kedegilan dengan senjata.”
 “Senjata?” 
 “Senjata kasih sayang.” 
 Kami ketawa. 
 Ketawa yang akhir ini lebih bermakna dari ketawa-ketawa kami sebelumnya kerana kali ini kami ketawa bersama-sama!
SUMBER:PAHROL MOHAMAD JUOI