Friday, March 21, 2014

KEMATIAN YANG PASTI




Assalamualaikum..
"Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara : Sedekah jariah,ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain atau anak yang soleh yang berdoa untuknya." (Hadis Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)

Ambillah pengajaran..

 
Setiap yang bernyawa pasti merasai mati
Dan bahawasanya kamu akan disempurnakan pahalamu di Hari Kiamat
Lalu siapa saja yang dijauhkan dari neraka
Dan dimasukkan dalam syurga
Itulah dia orang yang beruntung

Tidak ada kehidupan dunia kecuali kesenangan yang menipu
Wahai hamba Allah
Ingatlah janji yang kamu keluar atasnya dari dunia hingga akhirat
Iaitu persaksian tiada Tuhan yang lain kecuali Allah
dan Muhammad SAW Rasul-Nya

Dan bahawasanya mati adalah benar
Alam kubur adalah benar
Kenikmatan dan seksa di dalamnya adalah benar
Pertanyaan Malaikat Munkar dan Nakir adalah benar
Kebangkitan dari-Nya adalah benar
Perhitungan yakni hisab adalah benar
Syafaat Nabi Muhammad SAW adalah benar
Syurga dan Neraka adalah benar
Pertemuan dengan Allah bagi ahlinya adalah benar

Bahawasanya Allah membangkitkan orang-orang ahli kubur
Sekarang kamu berada di Alam Barzakh
Alam antara dunia dan akhirat
Maka ketika dua Malaikat Munkar dan Nakir yang ditugaskan oleh Allah mengunjungi kamu
Janganlah kamu menjadi terkejut ataupun gentar
Kerana keduanya adalah makhluk biasa seperti kamu dari sekian banyak makhluk-makhluk Allah
Ketika mereka berdua bertanya kepadamu
Siapakah Tuhanmu?
Siapakah Nabimu?
Apakah agamamu?
Apa kiblatmu?

Dan apa pula pemimpinmu?
Dan siapakah saudaramu?
Maka jawablah dengan tegas dan jelas serta meyakinkan
Allah adalah Tuhanku
Muhammad adalah Nabiku
Islam adalah agamaku
Ka'bah adalah kiblatku
Kitab Al-Quran adalah pemimpinku
Dan kaum Muslimin dan Muslimat,mukminin dan mukminat
Adalah saudara-saudaraku
Serta dihidupkan kembali

InsyaAllah
Kamu termasuk orang-orang yang aman selamat
Dan semoga Allah mengukuhkan kamu dalam ucapan yang tetap
Asyhadualla Ilaha Illallah
Wa Asyhaduanna Muhammadarrasulullah
لا إله إلا الله محمد رسول الله

Allah mengukuhkan orang-orang yang beriman dengan ucapan yang kukuh
Asyhadualla Ilaha Illallah
Wa Asyhaduanna Muhammadarrasulullah
Di dunia
Dan di akhirat

Wahai jiwa yang tenang
Pulanglah ke hadrat Tuhanmu dengan gembira dan diredhai
Masuklah dalam jamaah hamba-hambaKu
Dan masuk pula dalam syurgaKu.

Hurm.Beristighfarlah.

Dan sebagai penutup,saya kongsikan tafsir Surah At-Takaathur ini untuk dijadikan renungan untuk kita semua.
[Surah At-Takaathur:Ayat 1-8]

Kamu telah dilalaikan (daripada mengerjakan amal bakti) oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapat dengan sebanyak-banyaknya (harta benda, anak-pinak pangkat dan pengaruh), -

Sehingga kamu masuk kubur.

Jangan sekali-kali (bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak (akibatnya yang buruk semasa hendak mati)!

Sekali lagi (diingatkan): jangan sekali-kali (kamu bersikap demikian)! Kamu akan mengetahui kelak akibatnya yang buruk pada hari kiamat)!

Demi sesungguhnya! Kalaulah kamu mengetahui - (apa yang kamu akan hadapi) - dengan pengetahuan yang yakin, (tentulah kamu akan mengerjakan perkara-perkara yang menjadi bekalan kamu untuk hari akhirat).

(Ingatlah) demi sesungguhnya! - Kamu akan melihat neraka yang marak menjulang.

Selepas itu - demi sesungguhnya! - kamu (wahai orang-orang yang derhaka) akan melihatnya dengan penglihatan yang yakin (semasa kamu dilemparkan ke dalamnya)!

Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!

Renungkan.

Tiada guna kita membaca artikel ini jika selepas sahaja dari membaca,kita tetap dengan perilaku sebelumnya.

Ditulis artikel ini sebagai peringatan kepada diri sendiri juga.

Assalamualaikum dan Selamat Beramal.

Friday, March 14, 2014

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W


Tarikh : 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriah
Tempat : Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Baginda S.A.W Lahir Isnin, 12 Rabiul Awwal (Tahun Gajah)
Baginda S.A.W Wafat Isnin, 12 Rabiul Awwal 11 Hijrah (Umur 63 Tahun)

" Wahai manusia, dengarlah baik baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini, dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanah kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah sakiti sesiapa pun, agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' di batalkan mulai sekarang.

Berwaspada lah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara perkara besar, maka berjaga jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara perkara kecil.

Wahai manusia , sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah ALLAH, dirikan sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan,dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu, kerjakan ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan Beramal Solleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap ALLAH pada suatu hari untuk di pertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai maanusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesunguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, itulah Al-Quran dan Sunnahku. hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikannya kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikan ya-ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba hambaMU.

Pada akhir katanya, Baginda SAW bertanya kepada jemaah haji yang mendengar khutbah itu sama ada Baginda sudah menyampaikan apa yang patut disampaikan sebagai Rasul kepada umatnya. Semua hadirin mengiyakan Baginda sudah melunaskan tanggungjawabnya. Baginda SAW menunjuk ke langit seraya meminta Allah menyaksikan peristiwa itu. Tiga kali Baginda bertanya begitu dan mendapat jawapan yang sama daripada jemaah serta bersaksi dengan menunjukkan jarinya ke langit.

Tamatnya khutbah Hujjatul Wada itu, cuma Abu Bakar yang menitiskan air mata kerana beliau memahami kesimpulan khutbah itu ialah Rasulullah SAW bakal meninggalkan umatnya dan terpulang kepada kita sebagai pengikutnya untuk mengingati pesanan itu tanpa Baginda yang dikasihi berada di sisi. Persoalannya adakah masyarakat kita hari ini masih mengingati dan mematuhi amanah Baginda kepada kita?

Thursday, March 13, 2014

Apakah Fungsi Masjid Dalam Diri Anda




Artikel ini saya ambil dari link ini.Ianya amat bermanfaat untuk dikongsi dan dibaca oleh para pembaca sekalian yang dahagakan ilmu.Moga perkongsian ini mendatangkan manfaat pada kita semua Insyaallah.

Ramai juga yang berkunjung ke Masjid tetapi gagal mencapai matlamat. Ini kerana nawaitu yang silap. Contohnya Kak Bedah yang agak moody sentiasa dan sangat payah untuk senyum atau memberi salam. Sebarkan salam itu kan sangat utama? Dia yang baru berpisah dengan suaminya mungkin terbawa-bawa masalah peribadinya ke Masjid. Mungkin juga dia menjadikan kunjungannya ke Masjid saban malam sebagai tempat pelarian daripada masalahnya.

Ada juga ahli jemaah yang sangat tidak fokus kepada majlis ilmu yang berlangsung malah acap pula mengganggu konsentrasi orang lain. Ada yang asyik rajin berbual dan membuka cerita dari satu cerita ke satu cerita seolah-olah dia pula yang sedang berceramah. Ada pula yang bercakap dengan nada yang nyaring. Ini sangat mengganggu ahli jemaah lain yang memang nawaitunya untuk menuntut ilmu di sesi kuliah maghrib itu.

Saya juga perhatikan ada kelompok jemaah yang jasadnya berada di majlis ilmu namun fikiran merayau-rayau ke tempat lain. Hasilnya kosong. Apa yang disampaikan oleh Ustaz di hadapan itu cuma berjaya masuk telinga kanan dan terus keluar melalui telinga kiri. Tidak melekat satu apa isi pun daripada penyampaian ilmu yang berlangsung. Apatah lagi tidak ada inisiatif untuk mengambil nota atau membuat rakaman audio.


Ramai juga yang menjadikan sesi majlis ilmu sebagai penawar atau ubat untuk tidur. Umpama dos ubat tidur atau ulikan untuk dia tidur. Memang lelap. Sama seperti masa dia di sesi khutbah jumaat saban minggu walau di masjid mana sekali pun dia berada. Penyakit juga orang macam ini. Yang peliknya kalau depan TV tengok bola atau filem aksi segar pula dia. Satu lagi ialah persoalan adab. Ada yang tidak menjaga adab menjadi tetamu Allah di rumah-Nya dengan duduk berlunjur kaki atau secara yang tidak sopan.


Saya lihat ada juga golongan kaki masjid yang juga tidak mendapat faedah daripada majlis2 ilmu yang dilangsungkan. Ada yang lebih suka duduk di anjung masjid sambil relax atau baring2. Ada yang lebih minat berbual-bual kosong hal bursa saham atau hal2 dunia yang lain. Ada yang tekun baca akhbar di kaki lima masjid di kala Ustaz rancak berceramah.


Ada juga yang sambil bersandar ke dinding dengan jari jemarinya rancak bermain atau menggentel buah tasbih. Sedang sibuk berzikir agaknya. Tidak sedarkah dia bahawa sejenak berada dalam majlis ilmu sangat afdal hingga lebih baik daripada mendirikan 1,000 rakaat solat2 sunat. Sepatutnya dia duduk dalam majlis ilmu dan fokus kepada pengajian dan ilmu yang disampaikan oleh para penceramah jemputan saban malam itu.

Ini termasuklah juga kelompok yang berjawatan seperti para AJK Masjid, Pak Bilal, Pak Imam atau Tok Siak. Ada yang berjawatan ini bila tiba masa kuliah maghrib maka dia terus menyelinap keluar atau sibuk buat tugasan lain yang memang sangat bawah prioritinya.  Sangatlah rugi dia. Seolah-olahnya dia hanya terpaksa berada di masjid itu demi tugasan. Ada di kalangan petugas ini pula jika bukan giliran dia bertugas maka batang hidung pun tidak nampak. Seolahnya dia datang bersolat berjemaah di masjid itu bila kebetulan masa dia dijadualkan bertugas, bila bukan giliran dia bertugas maka tidak perlu datang ke masjid?


Saya perhatikan ada juga beberapa orang yang menyibukkan dirinya dengan urusan lain dan hanya bergegas masuk saf di hujung2 solat iaitu dengan keadaan masbuk. Dia tidak bersungguh-sungguh mengejar solat secara berjemaah dengan kesempurnaan yang maksima apatah lagi mengejar saf yang pertama. Kesian dia dan ianya sudah bertukar menjadi tabiat yang sebati. Tambahan lagi tiada yang menegur kekurangannya itu kerana segan atau takut jatuh air mukanya. Begitu juga bila majlis ilmu berlangsung dia akan sibukkan dirinya dengan perkara2 lain termasuklah membuat lawak2 bodoh atau berbual kosong tanpa ada nilaian di sisi Allah walau secubit.

Ibarat seorang pustakawan yang bertugas di perpustakaan yang dirinya dikelilingi khazanah buku dan gedung ilmu. Namun dia tidak berminat membaca buku dan mencari ilmu maka dia kekal jahil walaupun suasana ilmu memang ada di sekelilingnya. Begitulah juga terjadi kepada sebahagian para jemaah masjid yang walaupun regular dan rajin mengunjungi masjid malah sudah dilabel sebagai ahli masjid tapi dia tidak merasakan kelazatan atau kemanisan menuntut ilmu di kuliah2 yang diadakan saban malam hinggakan dia tidak dapat walau sedikit ilmu pun.

Sebagai konklusi kita renung balik apakah kita ini ada tergolong daripada kelompok yang rugi itu? Kita mula langkah baru untuk memperbaiki segala kekurangan dan memperbetulkan segala kesilapan demi untuk mengimarahkan rumah Allah dengan cara yang betul dan benar. Agar diakhirnya kita mendapat manfaatnya dan boleh menjadi manusia yang berilmu yang bukan sekadar beramal tanpa ilmu. Dan akhirnya kita sampaikan balik ilmu yang kita dapat itu kepada orang lain. Ilmu yang dapat disebar luaskan dengan usha dakwah masing2 yang tersendiri yang In Sha Allah bakal menyumbang kepada dana Akhirat.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...