Friday, March 14, 2014

KHUTBAH TERAKHIR NABI MUHAMMAD S.A.W


Tarikh : 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriah
Tempat : Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Baginda S.A.W Lahir Isnin, 12 Rabiul Awwal (Tahun Gajah)
Baginda S.A.W Wafat Isnin, 12 Rabiul Awwal 11 Hijrah (Umur 63 Tahun)

" Wahai manusia, dengarlah baik baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini, dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanah kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah sakiti sesiapa pun, agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' di batalkan mulai sekarang.

Berwaspada lah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara perkara besar, maka berjaga jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara perkara kecil.

Wahai manusia , sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah ALLAH, dirikan sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan,dan tunaikan zakat dari harta kekayaan kamu, kerjakan ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan Beramal Solleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap ALLAH pada suatu hari untuk di pertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai maanusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesunguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, itulah Al-Quran dan Sunnahku. hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikannya kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikan ya-ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba hambaMU.

Pada akhir katanya, Baginda SAW bertanya kepada jemaah haji yang mendengar khutbah itu sama ada Baginda sudah menyampaikan apa yang patut disampaikan sebagai Rasul kepada umatnya. Semua hadirin mengiyakan Baginda sudah melunaskan tanggungjawabnya. Baginda SAW menunjuk ke langit seraya meminta Allah menyaksikan peristiwa itu. Tiga kali Baginda bertanya begitu dan mendapat jawapan yang sama daripada jemaah serta bersaksi dengan menunjukkan jarinya ke langit.

Tamatnya khutbah Hujjatul Wada itu, cuma Abu Bakar yang menitiskan air mata kerana beliau memahami kesimpulan khutbah itu ialah Rasulullah SAW bakal meninggalkan umatnya dan terpulang kepada kita sebagai pengikutnya untuk mengingati pesanan itu tanpa Baginda yang dikasihi berada di sisi. Persoalannya adakah masyarakat kita hari ini masih mengingati dan mematuhi amanah Baginda kepada kita?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...