Assalamualaikum.
Saya mendapat inspirasi untuk post ini dari artikel di link ini.
Buat pengetahuan saudara semua,saya merupakan seorang yang agak jahiliyah malah sangat jahiliyah dahulunya.Bukan hendak membuka pekung di dada.Tetapi sekadar ingin memberitahu dan berpesan-pesan.
Saya kurang ilmu agama dan pelbagai lagi kesalahan-kesalahan yang secara ringkas saya dapat simpulkan saya adalah seorang duniawi. Dulu saya seorang yang fasih dan lancar bacaan al-qurannya. Namun akibat sikap bodoh saya, semua nikmat itu ditarik Allah s.w.t. Subhanaullah…
Tetapi,saya bersyukur kerana walaupun saya dalam keadaan jahil sebegitu,Allah s.w.t yang Maha Penyayang masih sudi memberikan saya kesedaran untuk mencari kebenaran dan ketenangan. Allah s.w.t tidak terus membiarkan saya hanyut ditelan arus kehidupan duniawi. Dengan segala kesalahan dan kemungkaran yang telah saya lakukan.. Alhamdulillah…
Dalam erti kata lain,saya sentiasa cuba mencari bahan-bahan yang dirasakan dapat menjadikan saya orang yang insaf dan better man.
Merujuk kepada artikel yang menjadi inspirasi saya itu,penulis itu mengatakan bahawa dia hendak berhenti merokok melalui pelbagai cara.Tapi,cara yang paling berkesan difikirkannya adalah melalui permohonan kepada Allah.
Ya.Benar.
Di dalam artikel itu lagi diceritakan bahawa teman beliau pernah menasihati beliau dengan ayat ini "Setiap hari, walaupun mungkin tidak haram tetapi jika kau buat kerja yang tidak disukai Allah, pasti sukar mendapat rahmat dari-Nya. Pasti, tidak ada kecukupan dan berkat di dalam kehidupanmu"
Ayat ini membuatkan saya terfikir keadaan saya sebelum ini.Ya,zaman jahiliah.
Walaupun saya sentiasa menunaikan solat lima waktu,namun saya merasakan masih ada kekosongan di jiwa.Hati sentiasa tidak tenang.Setelah membaca ayat ini saya membuat kesimpulan bahawa jika kita beribadat,tetapi kita masih melakukan dosa,itu bermakna ibadat kita tidak cukup khusyuk.
Kerana dosa-dosa itu telah mengurangkan kekhusyukan di dada kita.Yakni,dosa itu membuatkan hidup kita tidak mendapat ketenangan yang sepatutnya.Berkata-kata kesat itu sendiri dapat menggelapkan hati kita.Menonton video-video musik yang mengghairahkan dan sebagainya apatah lagi bukan?
Jadi,ibadat yang dilakukan tidak lebih sekadar fizikal.Ia tidak sampai ke jiwa kita.
Saya bersyukur kerana semakin hari saya semakin menyedari kesilapan.Syukur masih diberi hidayah oleh Allah.Saya berdoa kepada Allah ditetapkan serta ditingkatkan keimanan dan ketakwaan saya.Step by step saya akan cuba berubah untukmu Ya Allah..Insya-Allah..
Baiklah,bersambung kepada topik di atas.Penulis artikel inspirasi di atas telah menyatakan bahawa cara yang paling baik adalah melalui bermohon kepada Allah.
Benar.Kita ini manusia lemah.Tidak semua kita mampu buat.Allah itu Maha Besar sifat-Nya.Dia yang menciptakan dunia dan alam galaksi yang besar ini.Hanya kepada-Nya sahajalah kita boleh memohon.
Sebagai contoh,jika kita sudah berusaha,tetapi masih gagal.Berdoalah.Dan yakinlah dengan doa itu.Kerana jika kita yakin itu bermakna kita beriman.Itu sebab dikatakan berdoa itu boleh menambahkan keimanan dan mendekatkan diri dengan Allah.Doa juga adalah senjata orang-orang mukmin yang paling ampuh…
Dan tahulah anda bahawa jika doa itu tidak dimakbulkan untuk niat kita itu,adalah hikmahnya.Tetapi yang pasti doa itu pasti akan dimakbulkan.Bila dan dimana waktunya? hanya Allah yang maha mengetahui.
Berdoalah dengan ayat biasa.Ayat pasar.Ayat yang mudah.Ayat yang ikhlas.Tidak perlu untuk kita berdoa dengan panjang lebar dalam bahasa Arab jika kita sendiri tidak faham akan maksudnya. Kerana doa itu untuk kita memohon bantuan dan petunjuk dari Allah.Jika kita sendiri tidak faham apa yang dihajati,bagaimana hendak disertakan kesungguhan dalam doa? Bukankah begitu?
Jadi,doa dalam bahasa yang mudah difahami kita akan membuatkan kita lebih khusyuk dan insaf ketika berdoa serta memohon apa jua yang kita hajatkan dari Allah s.w.t.
Dan adalah tidak boleh bagi kita orang Islam untuk berputus asa.Kerana berputus asa itu bermakna kita sudah tidak yakin dengan bantuan Allah.Kegagalan itu bermakna ujian.Kita mestilah sentiasa berusaha.Tahulah anda bahawa ujian yang diberi Allah itu ada hadnya untuk kita.Allah Maha Mengetahui tahap keupayaan hamba-hamba-Nya. Kerana Allah tidak akan sekali-kali mendatangkan ujian kepada hambanya jika seseorang hamba itu tidak mampu untuk memikulnya. Begitu besar kasih sayang Allah pada hamba-hambanya, walaupun kita seringkali melupakan-Nya.
"Segala yang ada di langit dan yang ada di bumi adalah kepunyaan Allah. Dan jika kamu melahirkan apa yang ada di dalam hati kamu atau kamu memyembunyikannya, nescaya Allah akan menghitung dan menyatakannya kepada kamu. Kemudian Ia mengampunkan bagi sesiapa yang dikehendakiNya dan menyeksa sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. "
Surah Al-Baqarah Ayat 284
Merujuk kepada ayat di atas,kita perlu memahami bahawa semua yang ada dalam dunia ini adalah ciptaan Allah.
Izinkan saya menukar topik sebentar dan menceritakan satu perkara yang saya baru tahu baru-baru ini.Di dalam kitab Al-Quran sebenarnya banyak perkara-perkara yang membuktikan kekuasaan Allah yang sebenarnya kita sebagai umat Islam patut malu kerana kita sendiri tidak mengetahui hakikat ini.
Dan adalah malang bagi umat Islam yang mengutuk dan cuba untuk memurtadkan orang Islam sendiri dengan mengatakan agama Islam itu kuno.
Anda tahu Big Bang Theory? Teori ini mengatakan bahawa alam semesta ini terjadi dengan satu letupan besar dan teori ini baru diketahui pada abad ke 20 jika tidak silap saya.Anda boleh baca di link ini untuk maklumat lanjut.
Tetapi apa yang pasti teori ini masih baru.Dan anda hendak tahu satu perkara?Di dalam Al-Quran ada disebutkan fakta ini.
"Dan tidakkah orang-orang kafir itu memikirkan dan mempercayai bahawa sesungguhnya langit dan bumi itu pada asal mulanya bercantum (sebagai benda yang satu), lalu Kami pisahkan antara keduanya? Dan Kami jadikan dari air, tiap-tiap benda yang hidup? Maka mengapa mereka tidak mahu beriman?"
Surah Al-Anbiyaa' Ayat 30
Jika bagi orang yang masih tidak percaya,mari kita kaji.Bagaimanakah seorang lelaki seperti Nabi Muhammad SAW yang bersifat Ummi (tidak reti membaca) dapat membuat teori seperti ini? Sudah semestinya ayat ini datang dari Tuhan sendiri .Iaitu Allah SWT.
Ada hikmahnya Allah memilih pesuruh-Nya dari golongan tidak reti membaca.Ini untuk mengelakkan fitnah manusia dari mengatakan kitab Al-Quran itu ditulis oleh Rasulullah SAW. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.
Ingin tahu lagi fakta menarik di dalam Al-Quran yang sepatutnya kita umat Islam yang sudah dari lahir memeluk Islam tetapi masih tidak tahu fakta ini?Sepatutnya kita berasa malu dengan diri sendiri.Kita terjerat dengan hiburan dunia dan plan-plan penipuan Iblis supaya kita jauh dari ilmu dan kitab Al-Quran. Adakah kita masih lagi tidak sedar, umat Islam hanya akan bangkit jika kita semua lebih rapat dengan Al-quran dan hidup berpandukan segala ajaran yang ada di dalam nya. Ayuh kita lihat sistem apakah yang kita sedang laksanakan sekarang? Saya rasa tuan-tuan sudah sedia maklum..
Itulah sebabnya kenapa kita perlu mendekatkan diri kita dengan ilmu sains.Mengkaji sains itu bukan untuk bersifat duniawi sahaja.Sebaliknya untuk menemui bukti kekuasaan Allah. Untuk menambahkan rasa cinta kepada-Nya.
Baiklah.Bersambung kepada topik.
Perkara kedua yang disebutkan dalam Al-Quran yang mempunyai bukti saintifik adalah :
"Atau (orang-orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang di dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak; di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis - apabila orang itu mengeluarkan tangannya, ia tidak dapat melihatnya sama sekali. Dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturanNya mendapat cahaya (hidayah petunjuk) maka ia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar)."
Surah An-Nuur Ayat 40
Sebelum itu mari berfikir.Logikkah bagi seorang lelaki di kawasan gurun untuk mengetahui keadaan laut dalam pada zaman dahulu? Tidak…
Keadaan laut dalam hanya diketahui manusia pada baru-baru ini sahaja dengan adanya pelbagai teknologi.Itupun tidak diteroka habis lagi.
Tetapi Allah telah menerangkan dengan spesifik bagaimana keadaan laut dalam itu yang kajian saintifik telah mengiyakan ayat ini.Keadaan di laut gelap adalah gelap dan berlapis-lapis.Sila google jika tidak tahu.
Dan antara bukti saintifik yang paling besar dalam Quran adalah penciptaan manusia atau dalam bahasa saintifiknya Embryology.Allah telah menceritakan secara tepat penciptaan manusia ini kepada kita semua.
Tetapi manusia hanya mengetahui hakikat ini beratus-ratus tahun setelah penurunan Al-Quran.
Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dari pati (yang berasal) dari tanah.Kemudian Kami jadikan "pati" itu (setitis) air benih pada penetapan yang kukuh.Kemudian Kami ciptakan air benih itu menjadi sebuku darah beku. lalu Kami ciptakan darah beku itu menjadi seketul daging; kemudian Kami ciptakan daging itu menjadi beberapa tulang; kemudian Kami balut tulang-tulang itu dengan daging. Setelah sempurna kejadian itu Kami bentuk dia menjadi makhluk yang lain sifat keadaannya. Maka nyatalah kelebihan dan ketinggian Allah sebaik-baik Pencipta.
Surah Al-Mu'Minun Ayat 12-14.
Anda boleh melihat dan memahami video ini.
Dan banyak lagi mukjizat-mukjizat yang ada dalam al-Quran ini.Kita kenalah memahami dan membaca tafsir Al-Quran.Untuk tujuan ini juga,kita juga hendaklah menjadi bangsa berilmu.Belajarlah sains.
Jangan apabila disebut sains,kita fikirkan lab/makmal yang membosankan.Ini zaman teknologi.Carilah ilmu di internet dalam bentuk video atau apa sahaja.Insya-Allah pasti dijumpai. Jangalah kita hanya pandai untuk memberikan alasan saja, buangkan sikap malas dalam diri.
Adalah malang untuk kita umat Islam untuk tidak mengetahui perkara-perkara ini.Malah lebih malang bagi orang yang tidak berilmu yang hanya menjadikan kitab Al-Quran yang amat mulia itu sebagai hantaran perkahwinan (sahaja??) . terkejut? Malu? Tapi itulah realitinya yang berlaku pada hari ini.LINK
Benarlah kita umat Islam hari ini amat lemah.Kurang ilmu.Jika disebut tentang agama,kita hanya sering membincangkan benda-benda ringkas. Kita sibuk berbalah dengan perkara-perkara kecil dalam agama.Bidaah itu.. bidaah ini..tetapi kita tidak pernah cuba untuk berbincang bukti-bukti kekuasaan Allah.Kenapa?Kerana penguasaan kita dalam bidang ini amat lemah.Itulah sebab kenapa iman kita juga lemah.Kita tidak yakin bahawa Islam itu adalah agama yang benar.
Dengan ilmu,kita akan dapat melihat semua perkara ini.Kita akhirnya akan semakin bertambah keimanan yang akhirnya akan membawa kepada kebangkitan Islam.
Ketahuilah anda bahawa Iblis dan pengikutnya itu amat tidak suka dengan orang Islam yang mencari ilmu dan kebenaran.Kerana itu akan membuatkan kita semua berfikir.Dan kembali kepada jalan Allah. Saya tertarik
dengan kuliah pagi yang baru saja saya dengar pagi tadi, ia berbunyi.. “berbahagialah kita dan bersyukurlah kerana kita umat islam pada hari ini adalah ibarat kaum-kaum yang beriman kepada nabi yang diutuskan oleh Allah pada masa dulu dalam lautan orang-orang kafir dan menyekutukan Allah. Cuma masalahnya adalah kita tidak mempunyai iman yang kuat untuk membuktikan kecintaan kita kepada Allah.”
Itulah yang ingin disampaikan saya pada hari ini.
Kita kena kembali kepada jalan Allah.Kita kena kembali mencari ilmu.Ubah minda.Hidup ini adalah proses belajar.Jangan tutup minda anda dengan rutin harian anda sahaja.Jangan sibuk mencari duit dan harta sehingga kita menjadi hamba wang dan minda tertutup. Jangahlah kita sibuk mengejar urusan dunia sehinggakan kita terlupa urusan akhirat yang lebih penting.
Urusan dunia ini takkan pernah ada penghujungnya.. setiap hari kita sibuk menghambatnya dan ia pula tidak akan pernah berhenti untuk menghambat kita. Sehinggalah kita leka dan lalai dalam urusan akhirat kita. Belajarlah untuk berfikir.Artikel saya ini sebagai contoh jangan ditelan bulat-bulat.Fikir dahulu.Kemudian baru masuk dalam kepala.Barulah kita benar-benar yakin dengan kebenaran ini.
Semoga kita semua mendapat manfaat.Insya-Allah.
“Sesungguhnya orang-orang yang gelap hati itu,akan kekal gelap hati jika Allah tidak mengkehendakinya.Bersyukurlah kita kerana masih mendapat hidayah dari Allah.”
credit to:Pena Maya
No comments:
Post a Comment