Wednesday, August 11, 2010

Apakah tujuan kita dilahirkan ke dunia?


Assalamualaikum dan selamat menjalani ibadah puasa kepada pembaca-pembaca setia blog feedyoursoul84. semoga kita semua sentiasa berada dalam petunjuk dan hidayah daripada-Nya Insyaallah. Allah menghantar kita ke dunia ini dengan tujuan untuk menghambakan diri kepadanya. Jikalau kita masih ingat...semasa kita berada di alam roh dulu, kita sudah pun berjanji kepada Allah ingatkah? Sememangnya kita tidak akan pernah ingat. Tetapi pernahkah kita diingatkan tentang pekara ini? Ya.. sudah tentulah, namun kita masih bersikap sambil lewa sahaja. Tetapi kalau janji dengan kekasih, Fuh!~ mesti mari! sehingga mati pun ia akan diingati, walaupun kita sudah berpisah namun ia masih diingat-ingat dan masih dikenang-kenang akan keindahannya. Adakalanya, walaupun jika sudah terlalu benci namun janji tetap diingat kerana keutuhan cintanya pada kekasih. Tetapi cinta kepada Allah S.W.T??

Allah S.W.T sentiasa bersabar dengan segala karenah hamba-hamba-Nya dan menantikan dengan penuh setia janji-janji yang perlu kita laksanakan pada-Nya sebagai seorang hamba. Allah S.W.T berpegang pada janji-Nya untuk umat yang mengikutnya, Dia juga sentiasa memberikan “nasihat” , “petunjuk” dan pelbagai lagi, tapi kita? Kita tidak melihatnya. Kerana kita hanya sibuk melihat dan memikirkan hal-hal remeh temeh duniawi...

Inilah dia Janji kita kepada Allah S.W.T (boleh dirujuk pada Al-Quran) :

"Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun-temurun) dari (tulang) belakang mereka, dan Ia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri, (sambil Ia bertanya dengan firmanNya): "Bukankah Aku tuhan kamu?" Mereka semua menjawab: "Benar (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi". Yang demikian supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat kelak: "Sesungguhnya kami adalah lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini". Atau supaya kamu tidak mengatakan:" Sesungguhnya ibu bapa kamilah yang melakukan syirik dahulu sedang kami ialah keturunan (mereka) yang datang kemudian daripada mereka. Oleh itu, patutkah Engkau (wahai Tuhan kami) hendak membinasakan kami disebabkan perbuatan orang-orang yang sesat itu?" Dan demikianlah Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu (supaya nyata segala kebenaran), dan supaya mereka kembali (kepada kebenaran)." [Al-A'raf:172-174]

Saya mengajak diri sendiri dan sahabat-sahabat semua supaya selalu merenung maksud yang ada pada ayat di atas agar kita ingat...kita ini datang ke dunia atas satu perjanjian. Perjanjian dengan Allah yang Maha Agung. Sama ada suka atau tidak, kita perlu usahakannya untuk menjadi orang-orang yang bertaqwa di atas muka bumi ini. InsyaaAllah..

Hidup di atas muka bumi Allah s.w.t ini kita sememangnya takkan terlepas dari ujian-ujian-Nya. Sama ada ujian itu datang dalam keadaan kita sedar atau tidak. Sama ada ujian itu berupa kesenangan atau kesusahan. Itulah dia hakikat kehidupan yang harus kita tempuhi sebagai seorang hamba-Nya yang lemah lagi hina. Ujian ini adalah merupakan tapisan dari Allah s.w.t, sebelum kita benar-benar diiktiraf sebagai hamba-Nya yang taat dan bertaqwa. Semoga dengan rahmat Allah, kita semua terlepas sehingga ke tapisan yang terakhir. Semoga dengan rahmat Allah juga, kita dapat merasai nikmat syurga, dan dijauhkan dari siksaan neraka. Benarlah senikata dalam sebuah nasyid itu..."syurga menagih ujian, sedangkan neraka dipagari oleh nikmat" di sebalik nikmat-nikmat dunia yang dikejar itu ada api neraka na'uzubillah.. Oleh sebab itu, benarlah kata-kata bahawa “dunia ini adalah penjara bagi orang-orang mukmin dan syurga bagi orang-orang kafir” Sesungguhnya, cita-cita mukmin itu jauh...sehingga ke akhirat sana. Bukan sekadar bunglow-bunglow mewah serta wang ringgit yang menimbun. Apalah nilainya kesenangan yang sedikit di dunia ini, jika di akhirat sana kita tak dapat mengecapinya. Biarlah kita miskin harta, tetapi tidak miskin jiwa. Kerana orang yang kaya jiwanya dengan taqwa kepada Allah s.w.t sudah pasti akan mendapat tempat yang amat mulia di sisi Allah s.w.t.

Teorinya amat mudah saudara-saudaraku semua, tetapi seperti biasa...praktikalnya memerlukan lebih dari seribu satu pengorbanan! Namun ganjaran bagi orang-orang yang berjaya adalah syurga yang indah yang ianya sama sekali tidak mampu untuk kita bayangkan segala nikmatnya sekarang. Sama-samalah kita berusaha dari sekarang dan InsyaAllah kita mampu mencapainya. Marilah sama-sama kita berdoa agar Allah s.w.t memberikan seluruh rahmat-Nya kepada kita, hamba-hamba-Nya yang sudah pasti tersangat dhaif ini.Wauallahhualam..

[Dari Abi Hurairah, ia berkata ] Telah bersabda Rasulullah saw : “Apabila mati anak Adam , maka putuslah amalnya kecuali tiga perkara : Shadaqoh zariah,ilmu yang bermanfaat atau anak shaleh yang mendoakannya.”


[Rasulullah -shallallahu 'alaihi wa sallam- bersabda] "Barangsiapa yang membuat contoh (menunjuki kepada, ) yang baik dalam Islam, maka ia mendapatkan pahalanya dan pahala orang yang mengamalkannya setelahnya, tanpa mengurangi pahala mereka sedikitpun. Barangsiapa yang mencontohkan contoh tidak baik dalam Islam, maka ia mendapat dosanya dan dosa orang yang mengamalkan setelahnya, tanpa mengurangi dosa-dosa mereka." [Hadits Shahih, Riwayat Muslim dalam Ash Shahih (7/103-104 bersama Syarah Nawawi)

2 comments:

  1. ustaz....can i emel u personally???sungguh..i need advisor...

    ReplyDelete
  2. Salam ramadhan cik jari.. tentu saja boleh.. Insyaallah.. saya akn tlg jika sye mpu. dan saya akn ckp terus terang jika saya tidk tahu ya.. tapi sye akn tlg sdya upya saya nt Insyaallah... (hell_me8434@yahoo.com)

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...